Tuesday, January 13, 2009

3 cabaran tambah usahawan Islam

Posted by ShawaL

KERAJAAN berdepan tiga cabaran utama untuk mengukuhkan penyertaan umat Islam dalam sektor ekonomi negara, kata Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Sulaiman Mahbob.

Beliau berkata, cabaran utama adalah untuk meningkatkan bilangan peniaga dan pengusaha Islam dalam semua cabang perniagaan berikutan pendapatan atau keuntungan dalam kegiatan perniagaan lebih lumayan berbanding pendapatan dari sumber lain, seperti upah.

“Kita mengetahui ada hadis menyatakan perniagaan itu memberi 90 peratus dari jumlah pendapatan. Hakikat ini menyebabkan masyarakat Cina lebih gemar berniaga berbanding membabitkan diri dalam kegiatan dan pekerjaan lain.

“Bagi tujuan ini, membudayakan kerja dan suasana berniaga di kalangan masyarakat Islam di Malaysia harus dipergiatkan di semua peringkat demi memartabatkan ekonomi dan sosial mereka,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Kedudukan Semasa Ekonomi dan Sosial Umat Islam di Malaysia’ pada hari pertama Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

Sulaiman berkata, kerajaan juga kini perlu meningkatkan tahap pendapatan keseluruhan rakyat supaya masyarakat Islam dapat menguasai aset lain seperti dalam bidang hartanah dan saham.

Katanya, dengan pendapatan tinggi, tabungan juga akan meningkat dan seterusnya boleh digemblengkan untuk tujuan pelaburan serta kegiatan ekonomi lain.

“Justeru, Malaysia perlu meningkatkan teknologi serta menarik minat pelabur bermodal tinggi supaya produktiviti negara terus mantap dan tahap pendapatan dan tabungan pekerja juga dapat dipertingkatkan,” katanya.

Katanya, Singapura telah menggunakan strategi itu dalam tahun 90-an dan kini terbukti negara itu telah mencapai pendapatan per kapita yang tinggi di rantau ini.

“Pada ketika itu, industri yang berteknologi rendah dan berorientasikan buruh terpaksa meninggalkan negara itu dan berhijrah ke Johor dan kawasan selatan yang berdekatan dengan Singapura yang menggunakan buruh dan tanah yang lebih rendah kosnya,” jelasnya.

Sulaiman berkata, dalam usaha meningkatkan kecekapan usahawan Islam dalam konteks liberalisasi, inisiatif menerusi kaedah berasaskan persaingan terbuka perlu dilaksanakan ketika ini berbanding kaedah ‘runding-terus’ yang dilaksanakan sebelumnya.

“Kaedah baru ini adalah baik kerana ia akan memupuk budaya persaingan dan ketelusan, dan kemungkinan kos yang terbaik bagi pihak kerajaan.

“Keusahawanan yang tidak berteraskan kepada prinsip persaingan mungkin tidak boleh bertahan lama kerana ia tidak berdaya mengatasi risiko dalam alam perniagaan,” katanya.[+]

0 comments:

"There Is No Guarantee Of Success, But Not To Try Is Guarantee Failure"